Image

"Creativity Beyond Possibilities"

Image

Bismillahirrahmannirahim,
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam sejahtera dan Selamat datang ke laman sesawang rasmi Hab Media Kreatif & Teknologi (CMTHub), Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

Hab Media Kreatif & Teknologi atau lebih dikenali sebagai Creative Media and Technology Hub (CMTHub) telah ditubuhkan pada 25 Mac 2016 dan ia merupakan cetusan idea daripada mantan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato’ Seri Idris Jusoh, serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) iaitu Dato’ Profesor Dr. Asma Binti Ismail.

CMTHub ini ditubuhkan adalah untuk menyahut seruan kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi serta berperanan penting dalam ekonomi global melalui usaha mengerak-aktifkan semua potensi, kemahiran dan bakat seluruh rakyat Malaysia. Sehubungan itu, Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) telah memperkasakan program-program seni kreatif dan visual khusus untuk komuniti pencinta seni dalam kalangan masyarakat, industri dan UiTM sendiri. Kecintaan terhadap seni dalam kalangan industri dan masyarakat perlu dipertingkatkan agar karya yang dihasilkan bukan hanya membawa nilai pengajaran serta ilmu tambahan seperti keindahan, kehalusan dan kebaikan tetapi sebagai sebuah terapi seni yang boleh dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat dalam mengharungi kehidupan seharian mereka. Mulai 1 Februari 2022, CMTHub telah diletakkan di bawah kelolaan Kolej Pengajian Seni Kreatif yang merupakan sebuah entiti baharu gabungan daripada tiga fakulti bidang kreatif iaitu Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, dan Fakulti Muzik.

CMTHub terus bergerak aktif melalui pameran, tayangan, inovasi, persembahan, pusat sinergi kreatif, sudut ilmiah, perkongsian ilmu, kolaborasi bersama industri terutama sekali dalam bidang seni, media kreatif, teknologi dan inovasi. Penglibatan CMTHub dalam bidang e-sukan misalnya adalah salah satu inisiatif baharu bagi memperkukuhkan dan memperlebarkan lagi peranan CMTHub sebagai pusat seni kreatif yang signifikan dan pelbagai.



Sejajar dengan tema ‘GLOBALLY RENOWNED, LOCALLY ROOTED’ yang dipegang UiTM seperti sarana Naib Canselor Prof. Datuk Dr. Shahrin Bin Sahib @ Sahibuddin dalam Amanat VC 2024, CMTHub komited untuk menjadi hab dan penghubung kepada idea-idea baharu sama ada di peringkat cadangan, pembangunan, penyelidikan, mahupun pameran hasil produk yang berteraskan seni, media kreatif dan teknologi. CMTHub juga beriltizam untuk menjadi perantara dan rendezvous antara warga UiTM khususnya KPSK untuk bekerja rapat dengan pemegang taruh seperti, alumni, industri, pihak berkuasa dan masyarakat, yang mana idea mereka diterima oleh komuniti sejagat.

Di samping meneruskan aktiviti pameran dan acara di galeri CMTHub, pihak kami juga merancang untuk mewujudkan ruang ‘co-working space’, media dan digital lab/cafe di CMTHub bagi kegunaan warga Kolej Pengajian Seni Kreatif dan para pelajar UiTM secara amnya. Beberapa aktiviti secara berkala dan berskala kecil dirancang antaranya baca naskah, tayangan filem, podcast, persembahan seni kreatif, installation art, muzik, puisi dan sebagainya sebagai satu projek pembangunan kreatif berterusan di kalangan warga KPSK, UiTM. Sekaligus aktiviti ini juga dapat menghidupkan suasana kampus dengan elemen-elemen kesenian dan kreatif melalui idea-idea kontemporari dan teknologi baharu.     

Akhir kalam, saya berharap agar laman sesawang ini dapat memberi sedikit maklumat yang cepat dan mudah tentang CMTHub sebagai sebuah hab pembangunan media kreatif dan teknologi di UiTM serta di rantau ASEAN kepada para pengunjung. Walaubagaimanapun, saya turut mengalu-alukan sebarang pendapat atau cadangan daripada para pengunjung untuk menambahbaik laman sesawang ini agar ia sentiasa boleh dijadikan sebagai satu pusat maklumat yang bermanfaat dengan izinNYA.  Insyaallah.


DR. SYAHRUL FITHRI MUSA
Ketua CMTHub

Our Expertise

We provide our clients with professional consultancy & creative services.

EXPLORE MORE!

Keep updated with #KeluargaUiTM on our social media.

Contact Us

Hab Media Kreatif & Teknologi
Aras 3, Bangunan PTAR 1,
Universiti Teknologi MARA,
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan

cmthub@uitm.edu.my

Tel: +603-5521 1330